Latihan Militer Malaysia – China

Kuala Lumpur – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat sejarah untuk pertama kalinya mengadakan latihan bersama dengan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) melalui Latihan Militer Keamanan dan Persahabatan 2015 yang bermula semalam.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin mengatakan, latihan itu juga merupakan yang pertama buat China mengadakan latihan ketenteraan dua hala dengan negara-negara di rantau ini dan lebih membanggakan apabila Malaysia menjadi tuan rumah dari latihan tersebut.

Katanya, sejak 82 tahun penubuhan ATM, latihan itu merupakan yang terbesar dan pertama kali diadakan melibatkan pelbagai latihan medan dengan tujuan meningkatkan kerjasama ketenteraan bilateral kedua-dua negara.

“Sebanyak 1,995 peserta dan 28 aset gabungan bersama ketiga-tiga komponen darat, laut dan udara milik ATM dan PLA terlibat dalam latihan yang telah bermula semalam sehingga Selasa ini.

“Latihan tersebut dilaksanakan dengan tema ‘Menangani Ancaman Keselamatan Bukan Tradisional dan Bantuan Kemanusiaan serta Bencana Alam’ dan antara modul yang dijalankan adalah Gabungan Menyelamat Kapal Ditawan, Latihan Meriam (GUNNEX), Gabungan Pengiring Maritim serta Pemindahan Perubatan (MEDEVAC)” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Eksesais Keamanan dan Persahabatan 2015 antara ATM dan PLA di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Staf PLA, Leftenan Jeneral Yi Xiaoguang.

Eksesais Keamanan dan Persahabatan 2015 itu adalah bersempena 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan China pada tahun lalu dan diadakan di ruang udara dan perairan Selat Melaka serta kawasan darat meliputi beberapa kawasan di Selangor.

Tambah Zulkifeli, hubungan Malaysia dan China sebelum ini lebih banyak melalui kerjasama dalam politik dan ekonomi berbanding kerjasama ketenteraan.

“Hubungan ATM dan PLA makin terserlah sejak bantuan aset ketenteraan China dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang serta misi kemanusiaan ke atas mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pada tahun lalu,” katanya.

Utusan.com.my